
BATU NIAH: Majlis Daerah Subis (MDS) akan melaksanakan Perkhidmatan Kaunter Kutipan Bergerak Cukai Taksiran pada hujung minggu ini bagi memudahkan urusan pembayaran dan semakan cukai taksiran oleh penduduk setempat.
Kaunter bergerak tersebut akan dibuka selama dua hari, bermula pada 29 Ogos ini hingga 30 Ogos 2025, dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Perpustakaan Awam Batu Niah.
Menurut kenyataan daripada MDS, inisiatif ini bertujuan untuk mendekatkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat luar bandar serta meningkatkan tahap pematuhan pembayaran cukai taksiran dalam kalangan pemilik harta.
Antara perkhidmatan yang akan disediakan di kaunter bergerak ini termasuk semakan dan pembayaran cukai taksiran, permohonan bayaran ansuran bagi cukai taksiran, permohonan rebat cukai taksiran, permohonan hapuskira cukai taksiran dan pengemaskinian maklumat pegangan.
MDS menggalakkan semua pemilik harta di kawasan Batu Niah dan sekitarnya untuk mengambil peluang ini bagi menyelesaikan urusan berkaitan cukai taksiran tanpa perlu hadir ke pejabat MDS di Bekenu.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MDS dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam khususnya bagi komuniti luar bandar.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut digalakkan menghubungi pihak MDS melalui saluran rasmi yang disediakan.
Oleh Adum Liu