
KRIAN: Penduduk Rumah Jungan, Mendas Lama menerima pendedahan berguna menerusi ceramah mengenai kesihatan dan keselamatan sempena program Kesedaran Denggi dan Bomba Bersama Komuniti anjuran Majlis Daerah Saratok (MDS), di sini, semalam.
Antara intipati penting yang diketengahkan dalam ceramah tersebut adalah mengenai langkah-langkah mencegah penyakit berjangkit, khususnya penyakit denggi.
Penduduk diberi penerangan terperinci tentang cara mengenal pasti kawasan berisiko pembiakan nyamuk Aedes serta amalan menjaga kebersihan sekitar rumah dan persekitaran komuniti.
Selain itu, pasukan bomba turut memainkan peranan dengan menyampaikan ceramah keselamatan kebakaran dan mengadakan demonstrasi cara memadam kebakaran kecil.
Demonstrasi ini bertujuan memberi pengetahuan asas kepada penduduk mengenai tindakan segera yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan, terutamanya di rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik yang turut hadir menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas usaha murni dalam meningkatkan kesedaran penduduk terhadap isu-isu penting yang berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan.
Menurut beliau, keselamatan komuniti tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di atas bahu pihak berkuasa. Sebaliknya, penduduk rumah panjang harus turut memainkan peranan aktif dalam memastikan keselamatan dan kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.
“Keselamatan bermula dari diri sendiri. Jangan hanya bergantung sepenuhnya kepada pihak luar. Pencegahan awal adalah langkah terbaik untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” tegasnya.
Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak rumah panjang bagi membentuk komuniti yang lebih prihatin, berdisiplin dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Oleh Adi Safarman