MARUDI : Majlis Daerah Marudi (MDM) telah melancarkan Kempen Amalkan Norma Baharu di peringkat daerah Marudi hari ini.
Pengerusi MDM, Kaunselor Edward Mendai berkata kempen tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan mengamalkan norma baharu dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian program tersebut ialah mengedarkan poster cara pelupusan pelitup muka, mengedar poster prosedur operasi standarad (SOP) di kedai makan, poster 3S dan 3W dan fakta tentang Coronavirus.
Katanya lima buah kedai dipilih untuk acara simbolik penyerahan poster iaitu kedai Hock Lok, Kedai Delima Café, Kedai Bunga Raya dan Kedai Best Trading.
“Rata-rata orang awam di daerah ini peka dengan amalan norma baharu yang perlu dipatuhi, walau bagaimanapun kempen seperti ini perlu diteruskan bagi mengingatkan orang awam bahawa wabak Covid-19 masih ada dalam kalangan kita,” katanya.
Ujarnya, orang awam juga hendaklah bertanggungjawab bagi memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan.
Dalam pada itu, MDM perlu memainkan peranan dan memberi komitmen penuh dalam memastikan kesedaran tentang wabak pandemik ini disebarkan kepada komuniti Marudi secara menyeluruh.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Marudi Puan Lolita Jaime Nicholas, Kaunselor Yanti Nyanggau, Kaunselor Ruhane Mohamad, Kaunselor Dennis Sim Boon Seng, Kaunselor Huang Huat Ping, Penolong Setiausaha, Grace Joy Dapit, Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti, Gracezilla Umang Andrew, Pemangku Ketua Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar Majlis Daerah, PPKP, Lawrence Jaba David dan Ketua Bahagian Penguatkuasa MDM, KP Ronald Balan Mering.
Oleh JIKU JUGUONG