Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MDLBS mahu penjelasan status pembinaan SMK dan SK Dudong
  • Tengah
  • WILAYAH

MDLBS mahu penjelasan status pembinaan SMK dan SK Dudong

Utusan Sarawak 1 day ago
WONG Ching Yong ketika ditemui pemberita selepas sidang media penganjuran Karnival Selangau 2025 di pejabat MDLBS, hari ini.

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) menggesa pihak berkaitan termasuk kontraktor dan agensi pelaksana untuk tampil memberikan maklumat terperinci mengenai status pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dudong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dudong.

Menurut Timbalan Pengerusi MDLBS, Wong Ching Yong, meskipun kerja pembinaan telah bermula di tapak, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkembangan projek berkenaan.

“Saya amat gembira apabila dua sekolah ini disenaraikan dalam projek kebangsaan pada 2020 dan 2023, namun selepas itu tiada maklumat lanjut diberikan kepada kami. Saya hanya menyedari kerja pembinaan telah dimulakan apabila melalui kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media penganjuran Karnival Selangau 2025 di pejabat MDLBS, hari ini.

Beliau memberitahu, projek pembinaan dua sekolah berkenaan telah dicadangkan sejak 2011 oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Dr Soon Choon Teck, bagi menampung pertambahan penduduk di kawasan Sibu Jaya.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek tersebut mengalami beberapa perubahan apabila ia dimasukkan dan kemudiannya dikeluarkan daripada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), sebelum dimuktamadkan dalam RMK12.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan, kami tiada kuasa ke atas projek pendidikan, namun kami berharap dapat berjumpa dengan kontraktor dan agensi berkaitan untuk mendapatkan penjelasan serta perkembangan terkini memandangkan projek ini terletak dalam kawasan pentadbiran MDLBS.

“Ia penting bagi tujuan pemantauan dari aspek perancangan tempatan dan keselamatan,” ujarnya.

Wong berkata, pihaknya turut memohon taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, namun dimaklumkan bahawa jabatan itu juga tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai projek berkenaan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menggesa melalui media agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan maklumat rasmi, termasuk jadual pelaksanaan sebenar projek pembinaan dua sekolah ini,” katanya yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong.

Dalam perkembangan lain, Wong turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes sambungan haram rumah kediaman di Sibu Jaya yang diubah suai menjadi bilik sewa.

“Terdapat rumah yang diubah menjadi enam hingga tujuh bilik untuk disewakan. Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan keselamatan penghuni,” tegasnya.

Beliau berkata, MDLBS telah merujuk perkara itu kepada peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik terlibat.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pembangunan tidak harus jejas rakyat, Dato Wee tangani isu peniaga terjejas projek ART
Next: Yap visits project sites to kickstart vital infrastructure upgrades in Kota Sentosa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.