
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat kandungan palsu menyentuh Institusi Diraja yang dimuat naik oleh individu menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, kandungan berkenaan dipercayai mengandungi dakwaan tidak berasas kononnya Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan awal mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Dakwaan tersebut mengelirukan orang ramai dan menjejaskan integriti sistem perundangan negara serta kewibawaan Institusi Diraja,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.30 petang semalam.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan palsu yang menyentuh agama, kaum dan Institusi Diraja (3R).– Bernama