
KUALA LUMPUR: Susulan laporan media berhubung isu pengumpulan data telefon bimbit (MPD) daripada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tampil memperjelas perkara itu serta menegaskan bahawa tiada Maklumat Pengenalan Peribadi (PII) yang boleh diakses, diproses atau didedahkan.
Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan bahawa MPD digunakan secara ketat bagi penyediaan statistik rasmi untuk membantu penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua domain utama.
Ini termasuk Sektor ICT yang digunakan bagi menghasilkan statistik terperinci seperti jumlah langganan jalur lebar mudah alih yang aktif dan kadar penembusan di peringkat negeri, daerah, mukim, kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak berkuasa tempatan serta Sektor Pelancongan bagi mendapatkan petunjuk seperti jumlah pelancong dan perjalanan bagi pelancongan domestik.
“Data MPD yang diminta daripada MNO adalah tanpa nama dan tidak mengandungi PII.
“Selain itu, MNO diberi pilihan sama ada memproses data MPD dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan menyerahkan output yang diperlukan kepada MCMC, atau bagi MNO yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan dalaman, mereka hendaklah mengemukakan data tanpa nama itu kepada MCMC untuk diproses.
“Dalam kedua-dua kes, tiada pelanggan individu dapat dikenal pasti melalui data yang dikumpul,” katanya.
Mengulas lanjut, MCMC memaklumkan bahawa penggunaan MPD sebagai sumber baharu statistik negara adalah hala tuju strategik yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memperkukuh kualiti dan ketepatan masa output statistik bagi tujuan dasar serta perancangan.
Pelaksanaan MPD adalah menerusi kolaborasi dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Data Raya dan Sains Data, menurut MCMC.
Sejak dua tahun lepas, MCMC memaklumkan penglibatan meluas dengan semua MNO telah dilaksana bagi memastikan pemahaman bersama mengenai keperluan data, proses-proses yang terlibat dan perlindungan privasi.
Ini termasuk Bengkel Kebangsaan MPD yang berlangsung dari 2 hingga 5 Sept 2024 dan dihadiri wakil-wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, ITU, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta MNO (CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL).
“Inisiatif ini selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Ia mencerminkan projek serupa yang telah dilaksanakan di negara-negara seperti Indonesia dan Brazil di mana data telekomunikasi tanpa nama digunakan untuk meningkatkan statistik negara dan pada masa sama, melindungi sepenuhnya privasi pengguna,” katanya.
-Bernama