MCMC naik taraf rangkaian gentian optik tangani isu isyarat penuh tiada capaian internet – Teo

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pemberi perkhidmatan sedang melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah pengguna menerima isyarat telefon penuh, tetapi tiada capaian Internet.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara langkah dilaksanakan bagi mengatasi masalah kegagalan talian teras itu ialah menaik taraf rangkaian penghantaran menggunakan gentian optik berkapasiti tinggi.

Beliau berkata langkah itu turut melibatkan pelaksanaan jaringan lewah dan penyediaan laluan penghantaran alternatif bagi mengurangkan risiko atau titik kegagalan tunggal.

“Isu ketiadaan akses Internet walaupun pengguna menerima isyarat telefon yang kuat atau full bars boleh berlaku akibat beberapa faktor yang menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan pelan tuntas mengatasi masalah kegagalan talian teras berkenaan, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Teo berkata situasi tersebut boleh berlaku akibat kesesakan kapasiti rangkaian berikutan penggunaan data yang tinggi serta gangguan atau kerosakan pada talian penghantaran.

Faktor fizikal lain yang turut menyumbang ialah insiden pemotongan kabel gentian optik, vandalisme, kecurian, bencana alam, ancaman binatang liar dan kerja-kerja pembinaan.

“Selain faktor rangkaian, pengalaman pengguna turut dipengaruhi oleh keadaan peranti, tetapan telefon, jenis pelan langganan serta baki kuota data yang tersedia,” katanya.

Teo berkata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan sekiranya berlaku gangguan, MCMC turut menaik taraf kemudahan sokongan seperti sistem jana kuasa sandaran selain semua tapak komunikasi dipantau secara berterusan oleh pemberi perkhidmatan melalui Pusat Pemantauan Rangkaian (NMC) yang beroperasi 24 jam.

“Bagi meningkatkan keselamatan menara-menara di bawah inisiatif Pelan JENDELA, Pemberi Perkhidmatan telah mengambil langkah memperkasakan tapak-tapak menara komunikasi yang berisiko dengan pemasangan kelengkapan antikecurian dan vandalisme seperti pemasangan sesalur besi untuk mengelakkan kabel tembaga dipotong dan dicuri,” katanya. – Bernama