KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menerima lawatan penanda aras daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diketuai Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MBSA, Ahmad Fathin Ahmad Kamel di ibu pejabat DBKU, Bukit Siol.
Lawatan tersebut bertujuan berkongsi pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan organisasi, khususnya berkaitan pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sepanjang lawatan, rombongan MBSA diberikan taklimat mengenai Pengurusan Sistem dan Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di peringkat PBT yang disampaikan Pegawai Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKU, Mastura Iskandar.

Sesi perkongsian tersebut memberi pendedahan mengenai pendekatan, dasar serta inisiatif yang dilaksanakan DBKU dalam memperkukuh budaya kerja selamat, meningkatkan kesejahteraan warga kerja serta memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Lawatan penanda aras itu diharap dapat mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak berkuasa tempatan, di samping menjadi platform pertukaran idea dan amalan terbaik ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan berkualiti.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek bersama pegawai kanan DBKU.




