
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) terus mengambil tindakan tegas terhadap pemasangan iklan tanpa permit apabila sebanyak 7,902 iklan haram telah diturunkan sejak awal tahun ini, majoritinya melibatkan iklan peminjam wang tidak berlesen atau along.
Menurut kenyataan daripada Seksyen Penguatkuasaan MBM, tindakan itu selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan 2012 yang melarang sebarang pemasangan iklan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Iklan haram ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar raya, malah turut memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, operasi menurunkan iklan haram akan diteruskan dari semasa ke semasa, dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan.
MBM turut menasihati orang ramai agar tidak berurusan dengan along, yang sering menggunakan iklan haram sebagai modus operandi untuk memerangkap mangsa.
“Kerjasama masyarakat amat dialu-alukan dengan melaporkan sebarang aktiviti pemasangan iklan haram atau iklan along kepada pihak MBM bagi memastikan kesejahteraan bersama,” jelas kenyataan itu.