MIRI: Kewujudan iklan haram di tempat awam di sini yang semakin berleluasa bukan saja mencacatkan pemandangan malah menimbulkan rasa kurang senang penduduk dan menghalang penglihatan pengguna jalan raya.
Walaupun pasukan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan beberapa pengerahan termasuk menanggalkan iklan haram tersebut, namun pihak tidak bertanggungjawab atau individu berkenaan masih melakukan kegiatan itu apabila menampal iklan berkenaan di pokok tepi jalan, pada tiang lampu dan papan tanda.
Justeru, Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang berdegil dan memasang iklan haram di tempat awam di bandar raya ini.
MBM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya memutuskan untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang memasang iklan haram.
Sebelum ini, MBM melakukan tindakan penghapusan dan penyitaan iklan haram tersebut di tempat awam.
“Sebanyak 263 keping iklan haram disita pada Oktober lalu dan jumlah itu hampir sama dengan jumlah iklan haram yang dihapus pada November lalu.
“Ini menunjukkan aktiviti memasang iklan haram tersebut semakin berleluasa dan tidak terkawal,” katanya.
Oleh itu, MBM memutuskan untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab setelah perbincangan di peringkat jawatankuasa yang kemudian mendapat sokongan dalam Mesyuarat Penuh Majlis baru-baru ini.
“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, pihak yang mempamerkan iklan tanpa lesen di tempat awam boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih enam bulan di bawah Undang-undang kesalahan Undang-undang Kecil (Pengiklanan) Pihak Berkuasa Tempatan 2012.
“Manakala, kesalahan yang berterusan didenda selanjutnya tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan,” katanya.
Kata kenyataan itu, Pasukan Penguakuasa MBM baru-baru ini mendapati bahawa bahan haram itu ditampal pada pokok lanskap, tiang utiliti awam atau kemudahan awam lain yang merosakkan harta benda awam.
“Amalan yang tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang telah menyebabkan sampah sarap, menimbulkan rasa kurang selesa dan mempengaruhi pandangan Bandar raya Miri.
“Selain itu, iklan haram ini juga menghalang penglihatan pemandu dan kemungkinan berlakunya kemalangan jalan raya,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Pasukan Penguatkuasa MBM diminta untuk meneruskan tindakan berterusan bagi menghapuskan iklan haram tersebut.
“Selain itu, mereka juga diminta untuk melihat ke dalam tindakan yang mungkin untuk mengenal pasti pemilik atau kontraktor yang menyalahi undang-undang iklan dengan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka atas kesalahan tersebut,” ujar kenyataan itu.
Oleh Liong Chai Ling