Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MBM roboh struktur haram, bersihkan tapak pembuangan sampah di Estet Perindustrian Eastwood
  • Utara
  • WILAYAH

MBM roboh struktur haram, bersihkan tapak pembuangan sampah di Estet Perindustrian Eastwood

Utusan Sarawak 3 hours ago
DIROBOHKAN…Majlis Bandaraya Miri (MBM) merobohkan struktur haram dan membersihkan kawasan pembuangan sampah di rizab jalan Estet Perindustrian Eastwood.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil tindakan tegas dengan merobohkan struktur haram dan membersihkan kawasan pembuangan sampah haram di rizab jalan di Estet Perindustrian Eastwood dalam usaha memastikan persekitaran bandar raya kekal bersih, selamat dan teratur.

MBM dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan rizab jalan yang diperuntukkan untuk kegunaan awam dan infrastruktur tidak diceroboh atau disalahgunakan.

Menurut kenyataan itu, sebelum operasi dijalankan, notis telah diberikan kepada penghuni struktur haram bagi membolehkan mereka mengosongkan kawasan serta merobohkan binaan tersebut secara sukarela.

“Bagaimanapun, selepas penghuni gagal mematuhi arahan yang diberikan, MBM meneruskan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

SELESAI DIBERSIHKAN… Blok konkrit diletakkan di laluan masuk bagi menghalang kawasan berkenaan daripada terus dijadikan lokasi pembuangan sampah haram. 

MBM berkata aktiviti pendudukan tanpa kebenaran, pembinaan struktur, penyimpanan bahan dan pembuangan sampah secara haram di rizab jalan merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Katanya, aktiviti sedemikian bukan sahaja menghalang sistem perparitan, malah boleh mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan kesihatan dan keselamatan awam.

Bagi mengelakkan kawasan itu terus dijadikan lokasi pembuangan sampah haram, MBM turut memasang beberapa blok pembetung konkrit di laluan masuk bagi menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan berkenaan untuk membuang sisa secara haram.

Sehubungan itu, MBM mengingatkan penduduk, pemilik tanah dan pengusaha perniagaan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti tanpa kebenaran di rizab jalan atau membuang sampah secara haram.

Menurut majlis itu, tindakan tegas termasuk pengeluaran kompaun dan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan.

Pada masa sama, MBM menghargai kerjasama agensi penguat kuasa, pemimpin komuniti dan orang ramai dalam usaha memelihara kebersihan bandar raya serta menggesa masyarakat melaporkan sebarang kegiatan pembuangan sampah haram bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Tindakan pantas bomba hapus ancaman serangga berbisa di Jalan Kilang
Next: Polis Bau anjur ceramah pencegahan jenayah komersial di SJKC Keranji

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.