

DISITA…Pasukan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Miri mengangkat barang-barang yang diletak di kawasan tempat awam.
MIRI: Tindakan enam peniaga kedai makan di sini yang meletakkan barangan perniagaan di kawasan awam sehingga menimbulkan halangan dan gangguan serta mengancam keselamatan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya, menerima padah apabila barangan mereka dirampas oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM), baru-baru ini.
Rampasan itu dilakukan menerusi satu operasi penguatkuasaan yang melibatkan tindakan sitaan atas kesalahan meletakkan barangan di kawasan awam.

Operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan sepenuhnya oleh Seksyen Penguatkuasa MBM dan dibantu oleh Bahagian Kejuruteraan.
Seksyen Penguatkuasa MBM dalam kenyataan medianya memberitahu, penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 26 Undang-Undang Kebersihan yang memastikan pematuhan terhadap kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.
Antara barangan yang telah dirampas termasuk kerusi plastik, kanopi, meja lipat bulat, meja lipat segi empat, kerusi sandar rehat, peralatan penyediaan makanan, serta tong gas.
“Sebelum ini tindakan amaran dan kompaun juga telah dikenakan namun tiada kerjasama daripada pemilik premis makanan tersebut.
“Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa, Majlis dengan ini memohon agar semua pemilik premis perniagaan tidak menyalahguna tempat parkir dan juga kawasan awam bagi memastikan bandar raya Miri dalam keadaan yang bersih, selamat dan teratur,” jelas kenyataan itu.
Khidmat nasihat juga telah diberikan kepada pemilik premis agar sentiasa menjaga kebersihan dan dilarang sekali untuk meletak barangan kedai/peribadi di kawasan awam.
Sekiranya masih lagi didapati gagal untuk mematuhi peraturan yang sedia ada, tindakan sitaan akan dilakukan pada masa yangakan datang.
Oleh Liong Chai Ling