MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil inisiatif melancarkan aplikasi Miri CARES bagi memudahkan penduduk di sini menyuarakan pendapat mereka agar mudah didengar dan didaftar secara elektronik di dalam sistem bagi memudahkan pencarian, pertanyaan dan analisis data.
Datuk Bandar MBM, Adam Yii berkata, aplikasi Miri CARES boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
“Versi terkini aplikasi perisian ini sangat mudah digunakan dan menyokong tiga bahasa utama yang digunakan oleh Miri iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.
“Pengguna dapat memilih bahasa pilihan mereka dan lebih baik lagi, mereka dapat menukar bahasa dengan cepat.
“Masyarakat pada umumnya digalakkan untuk menggunakan Miri CARES untuk menyuarakan pandangan, keluhan dan pendapat mereka kepada MBM untuk sebarang penambahbaikan,” katanya, semasa berucap pada majlis pelancaran Aplikasi Miri CARES menerusi zoom di sini, semalam.
Yii berkata, pelancaran aplikasi tersebut selari dengan situasi semasa memerangi pandemik Covid -19 mengelak interaksi bersemuka dan meneruskan aktiviti yang dirancang untuk tahun ini sejajar dengan pelaksanaan Program Miri Bandar Pintar dalam mendokong Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018 – 2022.
Katanya, Miri CARES ini adalah satu penambahbaikan dalam menyalurkan aduan atau cadangan yang sebelum ini banyak melalui wakil rakyat, ahli majlis, pemimpin masyarakat yang dilantik seperti ketua kampung, kapitan, penghulu, pemanca atau melalui akhbar dan lain-lain.
Sementara itu, beliau berkata, bersempena dengan pelancaran Miri CARES ini juga, sebagai penghargaan peserta yang memberikan input terbaik melalui aplikasi Miri CARES akan diberikan hadiah.
“Orang awam boleh mendapatkan maklumat terperinci melalui laman web MBM termasuk peraturan penyertaan,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi Sarawak Information Systems (SAINS) Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam dan Lembaga Pengarah Institut Teknologi Riam Miri, Dato Sri Law Kiu Kiong.
Oleh LIONG CHAI LING