KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) masih menunggu arahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum mempamerkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kuching.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sehingga kini MBKS belum menerima sebarang arahan berhubung perkara itu, namun akan melaksanakan pempameran sebaik sahaja dimaklumkan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kuching, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan mengenai cadangan pembentukan kerusi baharu Tabuan Jaya, beliau berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang pengesahan rasmi.
Menurut beliau, orang ramai tidak seharusnya membuat andaian atau mempercayai khabar angin selagi keputusan muktamad belum diumumkan.
Katanya, cadangan persempadanan semula yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kini hanya menunggu proses pengesahan oleh pihak berkaitan.
Beliau berkata, keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam bulan ini dan semua pihak wajar menunggu pengumuman tersebut sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Beliau berkata, kerajaan sedia ada bersedia menghadapi apa jua keputusan yang bakal diputuskan berhubung persempadanan semula kerusi.
Dalam pada itu, beliau yakin sebarang perubahan yang diputuskan tidak akan memberi kesan besar kerana kerajaan sedia ada akan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
Beliau turut berharap semua pihak menghormati keputusan yang bakal diumumkan serta tidak terus membuat spekulasi berhubung cadangan kerusi baharu sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Katanya, pelbagai dakwaan mengenai kawasan pilihan raya baharu telah timbul sejak beberapa bulan lalu, namun perkara itu hanya boleh dipastikan selepas keputusan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa.
Tambah beliau, MBKS akan memaklumkan kepada media dan orang ramai serta mempamerkan cadangan persempadanan semula itu sebaik sahaja menerima arahan rasmi daripada pihak berkaitan.
Oleh Norman B





