
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menubuhkan Pasukan Petugas Pemuliharaan Warisan Padungan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan salah satu kawasan tertua dan paling bersejarah di bandar raya ini.
Pengumuman itu disampaikan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng ketika menyampaikan ucapan perasmian Perayaan Jalanan Tahun Baharu Cina Padungan 2026 di Jalan Padungan, mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, malam ini.
Menurut Dato Wee, penubuhan pasukan petugas berkenaan bertujuan mempertingkatkan penyelarasan serta memajukan usaha pemuliharaan warisan Padungan yang mempunyai sejarah melebihi 100 tahun.
“Pasukan itu akan memberi tumpuan kepada penilaian teknikal dan struktur bangunan, keperluan pemuliharaan serta langkah penambahbaikan.
“Ini bagi memastikan keselamatan, kelestarian dan pemeliharaan jangka panjang bangunan warisan di kawasan tersebut, di samping menghormati keperluan komuniti dan aktiviti ekonomi yang sedang berjalan,” katanya.
Dato Wee mengingatkan bahawa usaha ini penting bagi memastikan warisan Padungan terus dipelihara tanpa menjejaskan kehidupan harian komuniti serta perniagaan yang telah lama bertapak di kawasan ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Padungan bukan sekadar sebuah jalan atau kawasan komersial, sebaliknya sebuah kejiranan yang mempunyai jiwa serta sejarah yang dibina secara turun-temurun oleh komuniti setempat.
“Di sinilah banyak keluarga membina sumber rezeki dan kehidupan mereka, dengan kedai diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya, persahabatan terjalin dan kenangan tercipta sepanjang masa,” ujarnya.

Mengulas penganjuran Perayaan Jalanan Tahun Baharu Cina Padungan 2026, Dato Wee berkata festival berkenaan lahir daripada inisiatif komuniti setempat yang mahu meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama sambil menghidupkan semula suasana ceria dan tenaga positif di kawasan Padungan.
Bermula dengan satu idea yang sederhana, katanya, perayaan itu kini berkembang menjadi tradisi tahunan yang dinanti-nantikan dan benar-benar dimiliki oleh komuniti.
Perayaan yang berlangsung dari 6 hingga 15 Februari depan menjadikan Jalan Padungan sebagai ruang bersama untuk penduduk dan pengunjung, selain memberi peluang kepada perniagaan tempatan untuk terus berkembang sempena musim perayaan.
Dato Wee turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Peniaga Padungan, MBKS dan semua agensi berkaitan atas kerjasama erat dalam menjayakan perayaan berkenaan.
Beliau turut mengajak warga Kuching dan para pelawat untuk mengunjungi Padungan, menikmati mural yang menceritakan sejarah kawasan itu, menyokong peniaga tempatan serta berkongsi kegembiraan dan semangat sambutan Tahun Baharu Cina.
Bagi pihak Dr Sim beliau seterusnya mengisytiharkan Perayaan Jalanan Tahun Baharu Cina Padungan 2026 dibuka secara rasmi.
Oleh Adele Rissa