
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menubuhkan Pasukan Petugas Bangunan Warisan Padungan bagi memperkukuh penyelarasan serta memperhebat usaha pemuliharaan salah satu kawasan tertua dan paling signifikan dari segi sejarah di bandar raya ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata pasukan petugas berkenaan akan memberi tumpuan kepada penilaian teknikal dan struktur, keperluan pemuliharaan serta langkah penambahbaikan bagi memastikan keselamatan dan kelestarian bangunan warisan di Padungan.
“Pasukan petugas ini akan menilai keadaan struktur bangunan, keperluan pemuliharaan serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan bangunan warisan di Padungan kekal selamat dan lestari,” katanya melalui sebuah kenyataan hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada lnstitusi Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak yang diketuai Pengerusinya, Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin, atas kesediaan bekerjasama dan menyumbangkan kepakaran profesional.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta perunding tempatan atas sokongan dan komitmen mereka terhadap inisiatif tersebut.
Dato Wee berkata Majlis Warisan Sarawak dan Warisan Pintar Kuching Lama (OKSHE) juga akan dilibatkan bagi memberikan panduan berkaitan kepentingan warisan, prinsip pemuliharaan serta konteks sejarah sebagai sokongan kepada perancangan warisan jangka panjang untuk Padungan.
“Padungan merupakan sebahagian penting daripada warisan dan identiti budaya Kuching. Usaha memelihara bangunan bersejarah di kawasan ini bukan sekadar melindungi struktur fizikal, tetapi juga memastikan karakter dan sejarahnya terus terpelihara untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Menurut beliau, pasukan petugas itu akan berfungsi sebagai platform penyelarasan yang melibatkan MBKS, IEM Sarawak, agensi kerajaan serta perunding profesional bagi memastikan semua penilaian teknikal dan langkah pemuliharaan dilaksanakan secara sistematik dan bertanggungjawab.
Dato Wee menambah bahawa selepas keadaan struktur bangunan disahkan berada pada tahap memuaskan, MBKS akan mempertimbangkan objektif jangka panjang untuk mewartakan deretan bangunan Padungan sebagai kawasan warisan yang diiktiraf.
“Dengan kerjasama kukuh dan panduan pakar, kami yakin inisiatif ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan mampan, sekali gus mengimbangi pemeliharaan warisan dengan pembangunan bandar,” jelasnya.
Penubuhan pasukan petugas berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MBKS dalam melindungi warisan Kuching sambil meningkatkan aspek keselamatan, kebolehdiaman dan daya tarikan bandar raya ini.