Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • MBKS terus cungkil bakat seni tempatan menerusi KGT 2026
  • HIBURAN

MBKS terus cungkil bakat seni tempatan menerusi KGT 2026

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Wee Hong Seng (tiga kanan) menerima replika cek tajaan RM40,000 daripada wakil Sports Toto Malaysia bagi menjayakan Pencarian Bakat Kuching 2026, pada majlis penyerahan tajaan di MBKS hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus memperkukuh peranannya dalam mencungkil bakat seni tempatan menerusi penganjuran Pencarian Bakat Kuching (KGT) 2026, dengan sokongan tajaan RM40,000 daripada Sports Toto Malaysia.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, tajaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sports Toto yang telah menjadi antara rakan strategik MBKS selama lebih 20 tahun dalam menjayakan pelbagai program di bawah Festival Kuching.

Menurutnya, kerjasama berkenaan membolehkan MBKS terus menganjurkan pelbagai program berkualiti yang menyatukan masyarakat, mempromosikan gaya hidup sihat, meraikan seni dan budaya serta menyediakan platform kepada bakat tempatan untuk terus berkembang.

POSTER rasmi Pencarian Bakat Kuching 2026. Foto MBKS 

“MBKS amat menghargai komitmen berterusan Sports Toto terhadap tanggungjawab sosial korporat. 

“Tajaan ini bukan sekadar menyokong penganjuran acara, malah merupakan pelaburan dalam pembangunan komuniti dan bakat tempatan.

“Menerusi Pencarian Bakat Kuching (KGT) 2026, peserta bukan sahaja berpeluang mempamerkan kebolehan mereka, malah memperoleh pengalaman, membina keyakinan diri dan mengejar impian dalam bidang seni persembahan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tajaan program Pencarian Bakat Kuching 2026, di MBKS hari ini. 

Beliau berkata, pertandingan itu kini menjadi antara acara utama Festival Kuching kerana bukan sekadar pertandingan bakat, malah mencerminkan kepelbagaian budaya serta semangat kreatif masyarakat Kuching.

Katanya, sesi uji bakat yang berlangsung selama dua hari menerima sambutan menggalakkan apabila mencatatkan sebanyak 126 penyertaan melibatkan lima kategori pertandingan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 14 penyertaan diterima bagi kategori tarian budaya dan klasik, tarian kontemporari dan urban (17), nyanyian junior (45), nyanyian belia (27) dan nyanyian terbuka (23).

Selepas proses penilaian, tujuh kumpulan tarian budaya dan klasik layak secara automatik ke pentas akhir, manakala 13 kumpulan tarian kontemporari dan urban, 20 peserta nyanyian junior, 15 peserta nyanyian belia serta 13 peserta nyanyian terbuka mara ke peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, Wee berkata pertandingan tahun ini menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM25,200 serta trofi bagi lima kategori dipertandingkan iaitu tarian budaya dan klasik, tarian kontemporari dan urban, nyanyian junior, nyanyian belia serta nyanyian terbuka, selain trofi kepada para pemenang.

“Kami berharap pertandingan ini akan terus memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang muzik dan tarian serta suatu hari nanti mengharumkan nama Kuching dan Sarawak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya. 

Peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 15 Ogos ini, diikuti pentas akhir pada 16 Ogos di Teater MBKS, Taman Kuching.

Oleh Adele Rissa 

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Bieber, Madonna, Shakira dan BTS meriahkan persembahan separuh masa final Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.