
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap pembangunan bandar yang inklusif apabila meraih Anugerah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Mesra OKU sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sarawak 2025.
Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi kemudahan mesra autisme yang dikenali sebagai AUSOME PARK, sekali gus menonjolkan usaha MBKS dalam menyediakan ruang awam yang mesra dan inklusif untuk komuniti OKU.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam kepada Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Terletak dalam kawasan pentadbiran MBKS, AUSOME PARK diiktiraf sebagai antara ruang awam paling inklusif di Kuching, direka khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dalam spektrum autisme serta golongan orang kurang upaya.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk zon permainan sensori, akses tanpa halangan, laluan kerusi roda, ruang tenang untuk kawal selia emosi serta struktur permainan yang dipertingkat dari segi keselamatan.
Sambil menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut, Wee menegaskan kejayaan itu mencerminkan kesungguhan MBKS memastikan ‘tiada sesiapa yang tertinggal’ dalam arus pembangunan bandar Kuching.

“AUSOME PARK melambangkan keyakinan kami bahawa prinsip inklusif mesti menjadi asas dalam perancangan bandar. Setiap individu berhak menikmati ruang awam yang selamat, mesra dan menyokong keperluan mereka. Pengiktirafan ini menggalakkan kami terus memperkasa kemudahan untuk golongan OKU di seluruh Kuching Selatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MBKS akan terus memperluas inisiatif kebolehaksesannya bagi memastikan semua penduduk, tanpa mengira kemampuan fizikal atau sensori, dapat menikmati peluang sama rata serta kualiti hidup yang lebih baik.
AUSOME PARK sebelum ini mendapat pujian meluas daripada ibu bapa, penjaga dan pertubuhan komuniti sebagai model contoh ruang awam mesra autisme di Kuching.
Pengiktirafan tersebut sekali lagi mengukuhkan kedudukan MBKS sebagai peneraju dalam pembangunan bandar yang penyayang, inklusif dan berdaya huni.
Oleh Norman B.