
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memperkukuh usaha pemantauan terhadap pematuhan larangan merokok di kawasan yang telah diwartakan di bawah pentadbirannya, selaras dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pihaknya telah berhubung dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang masih berdegil melanggar peraturan tersebut.
Menurutnya, meskipun tanggungjawab penguatkuasaan utama terletak di bawah agensi persekutuan, MBKS tetap memainkan peranan penting dalam mempertingkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi larangan merokok di tempat awam.
“Kami sudah berhubung dengan pihak penguat kuasa berkaitan bagi memastikan kawasan yang telah diwartakan benar-benar bebas daripada aktiviti merokok. Ini termasuk memastikan papan tanda larangan dipasang di lokasi strategik agar mesejnya lebih jelas kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelantikan Jawatankuasa Perhubungan Pasar dan Penjaja 2026 di MBKS, hari ini.
Setakat ini, sebanyak 28 lokasi di bawah pentadbiran MBKS telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, meliputi taman awam, pasar serta beberapa premis tumpuan orang ramai di sekitar bandar raya ini.
Wee menegaskan bahawa MBKS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan sedia ada dan akan terus menjalankan pemantauan berterusan bersama agensi berkaitan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
“Kami akan mempergiat kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selesa untuk semua penduduk bandar raya Kuching,” tambahnya.
Oleh Adele Rissa