
KUCHING: Program Menyemai Jiwa Muda melalui Seni Kaligrafi yang dianjurkan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dilihat sebagai platform berkesan dalam menyemai minat terhadap seni dan kraf, sekali gus memupuk kreativiti serta keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBKS untuk mempromosikan seni dan kraf dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan pendidikan yang kreatif dan berteraskan budaya.

“Melalui aktiviti seperti kaligrafi, kanak-kanak digalakkan meneroka kreativiti, menghargai seni buatan tangan serta memupuk minat terhadap warisan kraf budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Menyemai Jiwa Muda melalui Seni Kaligrafi, di bilik mesyuarat MBKS, hari ini.
Menurut beliau, seni kaligrafi bukan sekadar penulisan, malah mengajar nilai kesabaran, tumpuan dan kreativiti, di samping membantu kanak-kanak mengekspresikan diri serta mengekalkan warisan budaya agar terus relevan.
Katanya, program berkenaan merupakan antara pelan tindakan di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) MBKS, yang bertujuan menyediakan lebih banyak ruang pembelajaran melalui seni dan kraf, selain meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti kebudayaan.
“Apa yang menjadikan program ini lebih bermakna ialah penglibatan pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik yang mempelajari seni kaligrafi bersama-sama, sekali gus membantu memupuk persefahaman, persahabatan dan perpaduan,” jelas Dato Wee.

Tambah beliau, MBKS turut berbangga dengan Projek Kuplet Tahun Baharu Cina, di mana kuplet hasil tulisan pelajar akan dipamerkan sempena sambutan perayaan tersebut sebagai simbol kreativiti, harapan dan doa generasi muda kepada masyarakat.
Katanya, program seumpama ini bukan sahaja menyemai minat terhadap seni dan kraf, malah membantu kanak-kanak mengenal pasti bakat mereka, di samping memelihara warisan budaya serta mengukuhkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.
Oleh Adele Rissa