
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini meraikan sambutan Hari Bapa dengan mengedarkan ‘shoutao’ atau roti panjang umur kepada para bapa di Pasar Komuniti Stutong dan Pasar Kenyalang, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan bapa yang sering kali tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Program tersebut diketuai oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng bersama ahli-ahli majlis MBKS sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan di bawah inisiatif Bandar Mesra Usia (Age-Friendly Cities).
Menurut Wee, sambutan Hari Ibu sering diraikan dengan meriah, namun Hari Bapa pula kadangkala berlalu tanpa perhatian yang sama.

Justeru, inisiatif berkenaan dilihat sebagai satu langkah kecil untuk menghargai peranan penting para bapa dalam membentuk keluarga dan masyarakat.
“Sering kali kita mengingati ibu kita pada Hari Ibu, namun kita juga harus mengingatkan diri tentang pengorbanan bapa yang tidak terkira.
“Hari ini, walaupun sekadar satu pemberian kecil, adalah tanda penghormatan terhadap kekuatan, kasih sayang dan komitmen mereka,” katanya.
Edaran ‘shoutao’, sejenis kuih tradisional masyarakat Cina yang melambangkan kesihatan dan umur panjang, turut membawa nilai budaya dalam menggalakkan semangat hormat kepada ibu bapa.
Melalui program ini, MBKS berharap dapat menyemai nilai kekeluargaan dalam kalangan generasi muda serta menggalakkan hubungan antara generasi yang lebih erat, selaras dengan matlamat utama program Bandar Mesra Usia.
Oleh Amanda L