
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kini mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani isu anjing liar dan peliharaan tidak terkawal, selaras dengan usaha membanteras penularan wabak rabies di kawasan pentadbirannya.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menegaskan bahawa pihaknya tidak lagi akan bertolak ansur terhadap pemilik haiwan yang cuai, termasuk mereka yang gagal memberi vaksin atau membiarkan anjing peliharaan berkeliaran sehingga mengundang risiko kepada keselamatan awam.
“Saya sendiri pencinta haiwan dan memiliki tiga ekor anjing di rumah. Tetapi perlu diingat, bila kita ambil haiwan peliharaan, tanggungjawab itu terletak sepenuhnya pada pemilik. Anjing tidak boleh bercakap, kita yang jaga mereka,” katanya ketika ditemui media di Taman Hui Sing, hari ini.
Beliau berkata MBKS kini menjalankan program vaksinasi anjing sehingga lima kali setahun secara percuma, selain memberi lesen secara percuma sebagai galakan kepada pemilik haiwan untuk mematuhi undang-undang sedia ada.
Pemilik anjing yang masih gagal mematuhi peraturan vaksinasi dan kawalan haiwan peliharaan bakal berdepan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM2,000.
Menurutnya, pendekatan pendidikan dan kesedaran telah lama dilakukan, namun masih ada pemilik yang mengambil sikap sambil lewa sehingga menyebabkan risiko penularan rabies kepada orang ramai.
“Bayangkan anda sedang berjoging, tiba-tiba seekor anjing keluar dan gigit anda. Walaupun sudah dapat rawatan, anda tetap akan bimbang kerana anda tak tahu sama ada anda dijangkiti rabies atau tidak. Sebab itu kami tekankan kepentingan tanggungjawab pemilik haiwan, demi keselamatan komuniti,” ujarnya.
Jelasnya, MBKS turut bekerjasama rapat dengan pihak seperti Persatuan Pencegahan Kezaliman terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pihak berkuasa di Samarahan dalam usaha mengekang penyebaran penyakit berbahaya itu.
Beliau turut menasihati mana-mana pihak agar tidak mempolitikkan isu kesihatan awam atau menggunakan isu ini untuk agenda publisiti sempit.
“Publisiti takkan selamatkan nyawa. Tindakan sahaja yang akan. Jangan tuding jari. Semua orang ada peranan seperti pemilik haiwan, pihak berkuasa dan komuniti,” tegasnya.
Dato Wee turut memberi jaminan bahawa MBKS akan terus menerima dan menyalurkan sebarang aduan kepada agensi berkaitan tanpa mengira sempadan pentadbiran.
“Ini bukan soal bidang kuasa. Ini soal tanggungjawab kita sebagai rakyat Sarawak. Kita di sini untuk berkhidmat, bukan sekadar lihat dan berlepas tangan,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud