
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil langkah pertama ke arah menjadikan bandar raya ini mesra warga emas melalui penganjuran Bengkel Bandar Raya Mesra Usia yang julung kali diadakan, hari ini.
Bengkel berkenaan menghimpunkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, kaunselor serta pemimpin komuniti bagi merangka persediaan menghadapi status Kuching Selatan sebagai bandar raya menua menjelang 2028.


SEKITAR penganjuran Bengkel Bandar Raya Mesra Usia.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dalam ucapannya menegaskan keperluan membuat persediaan awal kerana status menua akan memberi kesan terhadap aspek kesihatan, pengangkutan, perumahan serta reka bentuk ruang awam.
“Cara kita membuat persediaan hari ini akan menentukan bagaimana kehidupan warga emas esok. Kita tidak boleh menunggu sehingga tahun 2028 untuk bertindak,” katanya.

Bengkel yang dipengerusikan Kaunselor Judy Kho selaku Pengerusi Jawatankuasa Bandar Raya Mesra Usia MBKS turut menyaksikan pembentangan oleh Profesor Ida Fatimawati Adi Badiozaman dari Swinburne University of Technology Sarawak mengenai profil serta isu-isu penuaan warga emas di Sarawak.
Antara isu yang diketengahkan ialah kebimbangan kesihatan, aksesibiliti infrastruktur awam serta kepentingan inklusiviti sosial dalam kalangan warga emas.
Menurut Judy, bengkel ini hanyalah permulaan kepada siri libat urus yang lebih meluas bagi menjadikan Kuching Selatan model bandar raya mesra usia untuk Sarawak dan seterusnya.
Peserta bengkel pada akhir sesi berikrar untuk terus bekerjasama membangunkan infrastruktur, perkhidmatan awam dan program komuniti yang menyokong penuaan sihat serta bermaruah.