KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan melaksanakan langkah segera bagi menangani masalah banjir di beberapa kawasan yang sering terjejas.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pihaknya telah turun padang pada Tahun Baharu Cina untuk meninjau kawasan rendah yang terjejas akibat banjir kilat, air pasang, dan hujan lebat.
“Hasil tinjauan itu, kami telah mengenal pasti beberapa kawasan yang memerlukan tindakan segera.
“Kami juga telah merangka beberapa langkah sementara untuk mengurangkan kesannya,” katanya selepas mesyuarat pengurusan pertama MBKS tahun ini di bangunan MBKS di sini, hari ini.
Wee berkata antara kawasan yang dikenal pasti adalah Lorong 2, Lorong 17, dan Lorong 10A di Jalan Stutong, yang sering mengalami banjir akibat sistem perparitan yang tidak mencukupi.
“Ketika hujan lebat, air tidak dapat dialirkan dengan baik, menyebabkan banjir di kawasan ini.
“Oleh itu, cadangan penyelesaian termasuk menaik taraf sistem perparitan sedia ada serta pemasangan pintu air bagi mengawal aliran air dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa mesyuarat pengurusan MBKS akan meneliti aspek bajet sebelum tindakan dapat diambil.
“Sebaik sahaja langkah ini dipersetujui, kita akan memohon peruntukan untuk melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Wee turut menyeru penduduk agar tidak membuat sambungan haram yang boleh menjejaskan sistem perparitan dan meningkatkan risiko banjir.
“Kami ingin mengingatkan pemilik bangunan supaya tidak menghalang aliran air dengan sambungan haram.
“Ini bukan sahaja memburukkan keadaan banjir tetapi juga boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.
Katanya, MBKS mungkin akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan dengan meminta mereka mengemukakan pelan binaan yang sah mengikut undang-undang bangunan sedia ada.
“Jika sambungan haram dikesan, pemilik mungkin kehilangan Permit Penghunian (OP) mereka.
“Ini akan menyebabkan masalah besar, termasuk kesukaran mendapatkan pinjaman bank dan menjual hartanah mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MBKS juga sedang menunggu kajian menyeluruh oleh kerajaan negeri bagi menambah baik sistem perparitan di seluruh bandar raya Kuching.
“Sementara menunggu peruntukan penuh untuk projek mitigasi banjir jangka panjang, kita harus mengambil langkah sementara bagi mengurangkan impaknya.
“Penduduk memberitahu bahawa banjir berlaku hampir setiap bulan, dan ini tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa,” katanya.
Dato Wee turut menggesa orang ramai supaya lebih prihatin terhadap kesan tindakan mereka terhadap persekitaran.
“Semua orang suka mengembangkan ruang rumah atau premis mereka, tetapi perlu difikirkan juga kesannya terhadap jiran dan persekitaran.
“Jika ada sebarang pelan tambahan, sila maklumkan kepada MBKS. Kami boleh membantu dalam memastikan ia dilakukan dengan cara yang betul,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa struktur binaan yang tidak stabil boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada penghuni dan kawasan sekitar.
“Buat masa ini, kerajaan negeri sudah melantik perunding untuk mengkaji sistem perparitan di seluruh bandar. Namun, sementara kajian ini dijalankan, langkah sementara harus diambil bagi mengurangkan kesan banjir,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal