MBKS laksana program vaksinasi besar-besaran, 236 anjing divaksin

Facebook
WhatsApp
PEMILIK haiwan membawa anjing untuk vaksinasi, pelesenan dan mikrocip dalam program anjuran MBKS bersama DVSS, SSPCA dan SVA. Foto MBKS

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) dan Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) melaksanakan Program Vaksinasi Besar-Besaran, Pelesenan, Mikrocip dan Pemandulan Bersubsidi di Taman Datuk Song Swee Guan, Tabuan Jaya, hari ini.

Program dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu mencatat penyertaan 152 pemilik anjing melibatkan 236 ekor anjing yang divaksin. 

DATUK Wee Hong Seng bersama agensi dan petugas sempena Program Vaksinasi Besar-Besaran MBKS di Tabuan Jaya. Foto MBKS

Daripada jumlah itu, 56 ekor menerima dos pertama manakala 180 ekor dos penggalak.

Dalam masa sama, MBKS mengeluarkan 290 lesen anjing dan memasang 60 mikrocip bagi memperkukuh kawalan rabies serta meningkatkan kebolehkesanan haiwan peliharaan.

Bagi program pemandulan bersubsidi, sebanyak 27 permohonan diterima daripada pemilik haiwan.

DATUK Wee Hong Seng bersama agensi dan petugas sempena Program Vaksinasi Besar-Besaran MBKS di Tabuan Jaya. Foto MBKS

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, usaha pencegahan rabies memerlukan tanggungjawab bersama dan komitmen berterusan semua pihak.

“Pencegahan rabies adalah tanggungjawab bersama. Penglibatan berterusan masyarakat amat penting bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk komuniti serta haiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau turut menggesa pemilik haiwan memastikan anjing divaksin setiap tahun, dilesenkan dan dipasang mikrocip sebagai amalan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.