

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap masalah longkang yang sekian lama terabai di luar Wan Jia Departmental Store, Pusat Komersial Hui Sing.
Setiausaha Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong berkata longkang berkenaan telah lama tidak diselenggara walaupun pelbagai aduan dikemukakan oleh penduduk dan peniaga setempat sejak beberapa tahun lalu.
“Namun sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil bagi membersihkan atau menyelenggara longkang tersebut dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan
Menurut beliau, longkang itu dipenuhi sampah, sisa serta mendapan lumpur sehingga menghalang aliran air dengan serius. Keadaan tersebut menyebabkan air bertakung walaupun ketika cuaca panas dan kering.
Katanya, dengan ketibaan musim hujan, risiko limpahan air, banjir kilat serta masalah kebersihan dijangka meningkat, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keselesaan penduduk serta peniaga di kawasan berkenaan.
Michael menyifatkan pengabaian berpanjangan itu sebagai tidak boleh diterima dan mencerminkan kelemahan dalam respons pihak berkuasa tempatan terhadap aduan rakyat, terutamanya apabila isu sama dibangkitkan berulang kali tanpa penyelesaian.
Sehubungan itu, beliau menggesa MBKS supaya segera menjalankan kerja pembersihan dan pembilasan secara menyeluruh, termasuk menyingkirkan sekatan, sampah serta mendapan lumpur bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik.
Beliau turut menekankan keperluan penyelenggaraan berkala dilaksanakan, khususnya sepanjang musim hujan.
“Penyelenggaraan sistem perparitan merupakan tanggungjawab asas pihak berkuasa tempatan. Penduduk tidak seharusnya menunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk sebelum tindakan diambil,” katanya.
Oleh Connie Chieng