
KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam memajukan bandar raya masing-masing.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata kerjasama ini lahir daripada perbualan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif di Pulau Pinang tahun lalu, apabila mereka menyedari belum wujud sebarang jalinan rasmi antara dua bandar di Malaysia walaupun MBKS telah membentuk persahabatan dengan beberapa bandar di China, Korea Selatan dan Jepun.
“DBKL sudah lama menjadi penanda aras tadbir urus bandar di Malaysia. Pengalaman mereka mengurus sebuah metropolis yang kompleks dan pesat membangun amat berharga.
“Kami ingin menyesuaikan inisiatif seperti pengangkutan bersepadu, aplikasi bandar pintar, dan program pemulihan bandar untuk dimanfaatkan di Kuching Selatan,” katanya pada majlis menandatangani MoU di sini, hari ini.

Menurut beliau, MoU ini memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu teknologi dan data, kecantikan bandar, pelancongan dan budaya, kesejahteraan komuniti, serta pembangunan lestari.
Melalui kerjasama ini, MBKS dan DBKL akan berkongsi sistem perkhidmatan bandar, pendekatan landskap awam dan ruang hijau, melaksanakan promosi pelancongan bersama, menggabungkan program kesihatan komuniti, serta bertukar pengalaman dalam projek alam sekitar berskala besar.
Kerjasama ini turut memberi ruang untuk memperkukuh inisiatif UNICEF Child Friendly Cities dan strategi Bandar Mesra Warga Emas di Kuching Selatan dengan memanfaatkan kepakaran DBKL dalam kebolehcapaian bandar.
Selain itu, teknologi seperti sistem parkir pintar dan mobiliti bandar DBKL akan disesuaikan bagi meningkatkan kecekapan di Kuching Selatan.
Datuk Wee menegaskan manfaat kerjasama ini dapat dilihat dalam bentuk jalan raya yang lebih bersih, rangkaian pengangkutan yang lebih baik, kawasan kejiranan yang lebih selamat, serta ruang awam yang lebih hidup.
“Ini bukan persaingan. Ia adalah perkongsian berdasarkan saling menghormati dan berkongsi aspirasi. Bersama kita dapat membina bandar raya yang efisien, lestari dan berperikemanusiaan,” ujarnya.