
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memperkenalkan dua inisiatif bermakna yang mengangkat nilai bandar penyayang, inklusif dan berpandangan jauh menerusi penganjuran pertunjukan fesyen Dua Generasi Satu Pentas serta pertandingan reka bentuk poster bertajuk Datuk dan Nenekku, Kasih Hatiku, Wira Hidupku.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata kedua-dua program tersebut meletakkan kanak-kanak dan warga emas sebagai nadi komuniti dengan mengiktiraf kanak-kanak sebagai masa depan, manakala warga emas sebagai asas kebijaksanaan, pengalaman dan nilai kehidupan.
“Dengan menghimpunkan dua generasi ini, kita mengukuhkan ikatan kekeluargaan, memupuk saling menghormati serta menyemai masyarakat yang lebih berperikemanusiaan,” katanya pada sidang media pertunjukan fesyen Dua Generasi Satu Pentas di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pertunjukan fesyen Dua Generasi Satu Pentas, Wee berkata objektif utama program tersebut adalah untuk memupuk keharmonian antara generasi dan mengeratkan ikatan kekeluargaan.

“Apabila ibu bapa atau datuk nenek bersama cucu melangkah di atas pentas peragaan, ia melambangkan kasih sayang sejati serta perjalanan hidup yang dikongsi bersama.
“Ia mendidik kanak-kanak bahawa penuaan adalah sesuatu yang perlu dihormati dan diraikan, manakala warga emas pula memperoleh rasa bangga, maruah dan penglibatan aktif dalam kehidupan komuniti,” jelas Dato Wee.
Beliau berkata penyertaan bagi pertunjukan fesyen berkenaan dihadkan kepada 35 pasangan sahaja dan akan diterima mengikut pendaftaran terawal.
Hadiah wang tunai turut disediakan iaitu RM1,000 bagi johan, RM700 bagi naib johan, RM500 bagi tempat ketiga serta 10 hadiah saguhati bernilai RM200 setiap satu.
Sementara itu, pertandingan reka bentuk poster Datuk dan Nenekku, Kasih Hatiku, Wira Hidupku memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menzahirkan emosi serta penghargaan terhadap datuk dan nenek mereka melalui medium seni.
Dato Wee menyifatkan seni berperanan sebagai jambatan komunikasi antara generasi, di samping memupuk empati, rasa syukur dan nilai kekeluargaan.
“Melalui pertandingan ini, kanak-kanak membina kecerdasan emosi dan kreativiti, manakala datuk nenek pula berasa dihargai serta diiktiraf,” katanya.
Pertandingan tersebut terbuka kepada murid tadika dan sekolah rendah dengan penyertaan percuma.
Hadiah yang ditawarkan ialah RM250 berserta sijil dan piala bagi johan, RM200 bagi naib johan, RM150 bagi tempat ketiga serta 25 hadiah saguhati bernilai RM50 setiap satu lengkap dengan sijil dan piala.
Wee turut mengajak ibu bapa, datuk nenek, warga sekolah serta orang awam untuk menyertai dan menyokong program berkenaan secara aktif.

Pendaftaran awal amat digalakkan memandangkan tempat bagi pertunjukan fesyen adalah terhad.
Pertunjukan fesyen Dua Generasi Satu Pentas dijadualkan berlangsung pada 14 Februari ini pada 7.30 malam di Bangunan Baharu Dewan Masyarakat MBKS, manakala tarikh tutup penghantaran poster ialah pada Jumaat, 6 Februari 2026 sebelum 12.00 tengah hari.
“Marilah kita cipta pengalaman bermakna yang menghubungkan generasi, menyemai kasih sayang dan mencerminkan semangat sebenar Kuching Selatan sebagai sebuah bandar yang berkhidmat kepada rakyatnya pada setiap peringkat kehidupan,” katanya.
Oleh Adele Rissa