
SARIKEI: Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Negeri Sarawak 2025 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutupan rasmi di Kompleks Sukan Sarikei semalam.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan kejohanan selama empat hari itu yang bermula sejak 30 Jun lalu.
Menurut beliau, kejohanan ini bukan sahaja membuka ruang kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) menyerlahkan bakat dalam bidang sukan, malah membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan khas di Sarawak.
“Kejohanan ini membawa mesej jelas bahawa peluang yang adil dan pendidikan inklusif adalah asas penting untuk membina masyarakat yang penyayang, progresif dan inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, semangat kesukanan, disiplin dan daya saing yang ditunjukkan para atlet MBK sepanjang kejohanan amat membanggakan dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.
“Anda semua telah membuktikan bahawa bakat dan potensi mampu menyerlah jika diberikan ruang dan sokongan sewajarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak agar terus komited memperkukuh pendidikan khas melalui pendekatan intervensi awal, pembangunan holistik dan rangkaian sokongan yang lebih mantap, bagi memastikan tiada murid tercicir dalam arus pembangunan negara.
Dato’ Sri Huang turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pendidikan, termasuk melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengurus Sekolah.
Beliau berkata, pelbagai penambahbaikan infrastruktur pendidikan di seluruh negeri adalah langkah strategik ke arah melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan dan seimbang dari segi akademik serta sahsiah.
Sebagai tanda sokongan terhadap pendidikan khas di Sarikei, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Tabung Pembangunan Pendidikan Sarikei, bagi membantu memperkukuh lagi usaha pembangunan pendidikan di daerah ini. – UKAS