
Mbappe (tengah) ketika sesi latihan Madrid di Palm Beach Gardens, Florida.
PHILADELPHIA: Kylian Mbappe tidak disenaraikan dalam skuad Real Madrid untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab menentang Red Bull Salzburg esok walaupun kembali menjalani latihan selepas sembuh daripada sakit.
Bintang Perancis itu tiada dalam senarai 23 pemain diumumkan jurulatih Xabi Alonso untuk perlawanan di Philadelphia, di mana kedua-dua pasukan memburu tempat ke pusingan 16 terbaik.
Mbappe kembali menjalani latihan semalam susulan terlepas dua aksi pertama Real Madrid dalam kejohanan di Amerika Syarikat akibat masalah kesihatan.
Dia dimasukkan ke hospital minggu lalu untuk menjalani ujian dan rawatan selepas mengalami gastroenteritis, sebelum kemudian dibenarkan keluar.
Mbappe tidak diturunkan dalam perlawanan pembukaan Real menentang Al-Hilal dari Arab Saudi yang berakhir 1-1 di Miami dan ketika menang 3-1 ke atas Pachuca dari Mexico pada hujung minggu lalu.
Alonso sebelum ini ada menyatakan selepas kemenangan ke atas Pachuca bahawa keadaan Mbappe semakin pulih, dengan berkata: “Dia semakin baik, sedang dalam proses pemulihan.”
Real turut memuat naik gambar Mbappe berlatih di laman web mereka semalam ketika skuad menjalani sesi latihan di pangkalan mereka di Florida sebelum berlepas ke Philadelphia pada sebelah petang.
Madrid akan menentang pasukan dari Austria itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Lincoln Financial Field, dan sedang memburu kemenangan yang akan mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan.
Keputusan seri juga sudah memadai untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya, dengan Manchester City atau Juventus berkemungkinan menjadi lawan di pusingan 16 nanti.
Mbappe menjaringkan 43 gol dalam 56 penampilan sejak menyertai Real Madrid dari Paris Saint-Germain tahun lalu.
Perlawanan terakhirnya adalah bersama Perancis dalam kemenangan 2-0 ke atas Jerman dalam Liga Negara-Negara UEFA pada 8 Jun. -AFP