
MADRID: Kylian Mbappe menjadi wira Real Madrid apabila menyempurnakan dua sepakan penalti sekali gus membantu juara 15 kali itu membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemenangan penuh kontroversi 2-1 ke atas Olympique Marseille, awal pagi tadi.
Timothy Weah meledak gol pembukaan buat pasukan pelawat dari Perancis sebelum Mbappe menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.
Madrid kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan Dani Carvajal dilayangkan kad merah kerana menanduk penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli.
Skuad kendalian Roberto De Zerbi hampir mencipta kejutan di Santiago Bernabeu sebelum Facundo Medina dihukum kerana bola terkena tangannya satu keputusan yang dianggap keras yang membolehkan Mbappe menyempurnakan penalti keduanya untuk memastikan kemenangan.
“Bagi saya ia memang penalti, tetapi saya faham ada yang tidak bersetuju. Kita semua keliru dengan peraturan ini.
“Mereka kata ia penalti, saya ambil sepakan itu dan menjaringkan gol, itu sahaja,” kata Mbappe yang sudah menjaringkan 50 gol bersama Real Madrid.
Jurulatih Madrid, Xabi Alonso berdepan ujian awal dalam penampilan sulungnya di pentas Eropah apabila Trent Alexander-Arnold terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan paha, selain beraksi dengan 10 pemain selepas Carvajal dibuang padang.
“Dua gol hadir daripada penalti dan prestasi kami sebenarnya layak mendapat lebih daripada itu kami sepatutnya menang dengan lebih banyak jaringan, kegagalan berbuat demikian membuatkan perlawanan lebih sukar.
“Ia kemenangan yang baik untuk permulaan, tetapi menjadi rumit di hujungnya,” kata penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.
Alonso merehatkan beberapa tonggak utama termasuk Vinicius Junior selepas aksi menewaskan Real Sociedad dalam saingan La Liga hujung minggu lalu bagi mengekalkan rekod 100 peratus musim ini.
Madrid juga berdepan pramusim singkat selepas Piala Dunia Kelab, sekali gus mendorong Alonso untuk melakukan rombakan besar sambil menegaskan beliau mahu membabitkan sebanyak mungkin pemain.
Jude Bellingham buat pertama kali disenaraikan di bangku simpanan selepas menjalani pembedahan bahu pada Julai lalu, namun tidak diturunkan bersama Eduardo Camavinga yang baru kembali daripada kecederaan.
Mbappe hampir membuka tirai jaringan lebih awal menerusi percubaan gunting spektakular, namun bola hanya sedikit tersasar. – AFP