Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mbappe sedia raikan penampilan ke-100 bersama Perancis di Piala Dunia
  • SUKAN

Mbappe sedia raikan penampilan ke-100 bersama Perancis di Piala Dunia

Utusan Sarawak 5 hours ago
KYLIAN Mbappe ketika sidang media di Philadelphia pada Ahad menjelang aksi Piala Dunia menentang Iraq, yang bakal menyaksikannya membuat penampilan antarabangsa ke-100 bersama Perancis. — Foto AFP

PHILADELPHIA: Kylian Mbappe sudah pun mencipta satu pencapaian besar pada Piala Dunia tahun ini apabila muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, dan pada pagi esok (waktu Malaysia) beliau bakal menambah satu lagi detik bersejarah apabila kapten Perancis itu membuat penampilan antarabangsa ke-100 menentang Iraq.

“Sentiasa menjadi satu kebanggaan untuk bermain mewakili negara. Tiada yang lebih besar daripada itu. Angka 100 adalah sesuatu yang bersejarah dan peluang mencapainya di Piala Dunia menjadikan perlawanan ini sangat istimewa buat saya,” kata Mbappe kepada wartawan pada Ahad di Philadelphia, lokasi pertemuan kedua-dua pasukan dalam Kumpulan I.

Beliau akan menjadi pemain Perancis ke-10 yang mencapai 100 penampilan antarabangsa, namun masih jauh daripada rekod 145 penampilan milik bekas rakan sepasukannya, penjaga gol Hugo Lloris.

“Apa yang lebih penting ialah kepentingan perlawanan ini dan kami perlu menang untuk mara,” tegas Mbappe.

Mbappe membuat penampilan sulung bersama Perancis ketika berusia 18 tahun pada 2017. Isnin lalu, beliau muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Senegal di Stadium MetLife, New Jersey.

Dua gol itu membolehkannya mengatasi rekod 57 gol milik Olivier Giroud dengan jumlah terkini 58 gol.

Pencapaian tersebut hadir di pentas Piala Dunia, kejohanan yang banyak membentuk kariernya sejak membantu Perancis menjuarai edisi 2018 di Rusia.

Beliau menjaringkan empat gol di Rusia dan lapan lagi di Qatar empat tahun kemudian, termasuk hatrik dalam perlawanan akhir yang menyaksikan Perancis tewas menerusi penentuan penalti kepada Argentina yang diketuai Lionel Messi.

“Saya sedar apa maknanya berada di Piala Dunia dan mewakili lebih 67 juta rakyat Perancis,” kata penyerang Real Madrid berusia 27 tahun itu.

“Saya hanya mahu dikenang dalam sejarah negara saya. Ramai pemain mungkin tidak benar-benar menikmati Piala Dunia kerana tekanannya, tetapi saya cuba menikmatinya kerana saya tahu betapa bertuahnya saya.

“Saya tahu saya mempunyai kualiti, tetapi anda masih perlu membuktikannya di pentas terbesar seperti Piala Dunia dan saya rasa dua gol dalam perlawanan pertama belum cukup untuk menunjukkan sepenuhnya kemampuan saya.”

Mungkin beraksi di MLS

Kenyataan itu dilihat sebagai amaran kepada Iraq, lawan Perancis seterusnya, kerana kemenangan kedua akan membawa pasukan pilihan kejohanan itu lebih hampir ke pusingan kalah mati.

KYLIAN Mbappe menjalani sesi latihan di kem latihan Perancis berhampiran Boston pada Sabtu menjelang perlawanan Piala Dunia menentang Iraq. — Foto AFP

Mbappe kini mempunyai 14 gol Piala Dunia daripada hanya 15 penampilan dan hanya memerlukan dua lagi gol untuk menyamai rekod jaringan sepanjang zaman kejohanan itu, yang sebelum ini dipegang Miroslav Klose dengan 16 gol sebelum disamai Lionel Messi minggu lalu.

“Saya tahu Leo Messi akan menjaringkan gol, dia sentiasa melakukannya. Dia memiliki rekod itu dan saya berada di belakangnya. Saya akan terus cuba menjaringkan gol,” kata Mbappe.

“Ia akan membawa saya lebih hampir kepada rekod itu, tetapi perkara paling penting ialah pergi sejauh mungkin bersama pasukan.”

Mbappe juga dilihat cukup menikmati suasana Piala Dunia di Amerika Syarikat dan membayangkan kemungkinan beraksi dalam Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) pada penghujung kariernya.

“Sudah tentu budaya di sini berbeza dengan Eropah dan saya sentiasa menyukainya. Mereka mempunyai cita-cita tanpa batas dan tidak takut untuk menyatakannya,” katanya.

“Adakah saya akan datang ke sini pada penghujung karier saya? Saya tidak tahu. David Beckham sering bertanya kepada saya. Kita lihat nanti, tetapi ini adalah negara yang saya suka dan saya gembira berada di sini.”

Bagaimanapun, Mbappe memberi bayangan bahawa beliau tidak akan terus bermain di Piala Dunia sehingga usia 40-an seperti Cristiano Ronaldo.

“Saya tidak akan melakukannya pada usia 40 tahun. Ketika itu anda semua pasti sudah menyingkirkan saya,” katanya berseloroh. – AFP

Continue Reading

Previous: Neymar kembali sertai latihan penuh Brazil
Next: Rehat hidrasi ganggu rentak permainan – Jurulatih Argentina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.