Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mbappe jaring dua gol, bawa Perancis mulakan kempen dengan kemenangan ke atas Senegal
  • SUKAN

Mbappe jaring dua gol, bawa Perancis mulakan kempen dengan kemenangan ke atas Senegal

Utusan Sarawak 2 hours ago
PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe meraikan jaringan kedua pasukannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal di Stadium New York New Jersey, East Rutherford, New Jersey sebentar tadi, Foto AFP

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Kylian Mbappe meledak dua gol ketika Perancis memulakan misi memburu kejuaraan Piala Dunia ketiga dengan kemenangan 3-1 ke atas Senegal dalam aksi Kumpulan I, sebentar tadi.

Bintang Real Madrid itu kini mengumpul 14 gol sepanjang kariernya di Piala Dunia, hanya dua gol di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman, Miroslav Klose. Bradley Barcola turut menemui sasaran ketika Les Bleus meraih tiga mata penuh buat skuad kendalian Didier Deschamps.

Mbappe memecah kebuntuan pada minit ke-66 apabila melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum menyempurnakan hantaran cemerlang Michael Olise. Gol itu hadir selepas Perancis bergelut pada babak pertama sebelum bangkit mempamerkan aksi lebih meyakinkan selepas rehat.

Pemain Paris Saint-Germain (PSG), Barcola, yang masuk sebagai pemain gantian kemudian menambah jaringan kedua pada penghujung perlawanan, sebelum rakan sepasukannya di kelab, Ibrahim Mbaye, merapatkan jurang buat Senegal pada masa kecederaan.

Namun, Mbappe menutup tirai dengan bergaya apabila meledak gol jarak jauh pada minit ke-96 untuk mengesahkan kemenangan Perancis, selain muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 58 gol.

Keputusan Deschamps mengalihkan Olise daripada posisi sayap kanan ke bahagian tengah terbukti menjadi faktor penting yang mengubah corak permainan memihak kepada juara dunia dua kali itu.

Bagaimanapun, Mbappe menjadi tumpuan utama dalam penampilannya yang ke-99 bersama skuad kebangsaan.

PERTAHANAN Perancis, William Saliba (jersi No. 17), mengawal bola ketika aksi Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal di Stadium New York New Jersey, East Rutherford, New Jersey sebentar tadi. Foto AFP

Penyerang berusia 27 tahun itu terus mengekalkan rekod cemerlangnya di pentas Piala Dunia. Beliau menjaringkan gol dalam final 2018 yang menyaksikan Perancis muncul juara, selain mencipta hatrik dalam kekalahan menerusi penentuan penalti kepada Argentina pada final 2022 di Qatar.

Dua gol yang dijaringkan Mbappe menyaksikannya mengatasi rekod 12 gol milik Pele, serta melepasi catatan 13 gol Lionel Messi dan legenda Perancis, Just Fontaine.

Beliau kini menyamai rekod Gerd Mueller dengan 14 gol, hanya dibezakan oleh Klose dan Ronaldo dari Brazil yang mengumpul 15 gol.

Perancis, yang dianggap antara pilihan utama kejohanan, dijangka meneruskan momentum positif itu untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik. Mereka akan menentang Iraq selepas ini sebelum berdepan Norway yang diketuai Erling Haaland.

Deschamps, yang bakal meninggalkan jawatan selepas 14 tahun mengendalikan pasukan sebaik tamat kejohanan ini, sebelum ini mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu yakin meskipun memiliki skuad yang sarat bakat.

Senegal pula mengingatkan Perancis kepada kenangan pahit Piala Dunia 2002 apabila juara bertahan itu tewas 0-1 kepada Lions of Teranga dalam perlawanan pembukaan sebelum tersingkir di peringkat kumpulan tanpa menjaringkan sebarang gol.

Olise tampil cemerlang

Senegal mempamerkan kekuatan sebenar mereka di hadapan 80,545 penonton dalam cuaca cerah, dengan latar belakang pencakar langit Manhattan yang jelas kelihatan dari stadium.

Pasukan yang diketuai penyerang berpengalaman, Sadio Mane, dan dibarisi empat pemain kelahiran Perancis itu turun beraksi dalam perlawanan kompetitif pertama sejak final Piala Negara-Negara Afrika di Maghribi pada Januari lalu.

PEMAIN tengah Senegal, Iliman Ndiaye (jersi No. 13), mengawal bola sambil diasak pemain tengah Perancis, Aurelien Tchouameni (jersi No. 8), dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal di Stadium New York New Jersey, East Rutherford, New Jersey, sebentar tadi. Foto AFP

Skuad kendalian Pape Thiaw memenangi perlawanan itu selepas masa tambahan, namun kemudiannya dilucutkan gelaran susulan protes keluar padang yang dilakukan beberapa pemain ketika perlawanan berlangsung. Rayuan berhubung keputusan itu masih berjalan.

Senegal lebih menyerlah pada separuh masa pertama. Nicolas Jackson hampir meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-25 apabila percubaannya terkena tiang sebelum bola melantun mengenai penjaga gol Mike Maignan dan melepasi pintu gol.

Ismaila Sarr kemudian mensia-siakan peluang keemasan apabila rembatan beliau pada masa kecederaan babak pertama melambung tinggi melepasi palang.

Perancis melakukan perubahan taktikal pada separuh masa kedua apabila Olise dan Ousmane Dembele bertukar posisi. Pemenang Ballon d’Or itu kembali ke bahagian kanan manakala ruang di belakang Mbappe diserahkan kepada pemain Bayern Munich berkenaan.

Perubahan itu serta-merta menghidupkan permainan Perancis. Olise terlebih dahulu dinafikan penjaga gol Edouard Mendy sebelum mencipta peluang kepada Mbappe yang turut berjaya diselamatkan.

Perancis hampir memperoleh sepakan penalti pada minit ke-60 selepas Mbappe dijatuhkan hasil cabaran Mane, namun pengadil Alireza Faghani tidak memberikan sepakan penalti selepas semakan dilakukan.

Keputusan itu tidak menjejaskan rentak Perancis apabila Olise terus mengucar-ngacirkan benteng lawan sebelum melorongkan bola kepada Mbappe untuk gol pembukaan.

Perancis kemudian menggandakan kelebihan apabila Adrien Rabiot melepaskan hantaran kepada pemain gantian Barcola yang melakukan larian solo sebelum menjaringkan gol kedua.

Mbaye sempat mengurangkan defisit pada minit ke-95, namun Mbappe memastikan kemenangan milik Perancis apabila menjaringkan gol ketiga seminit kemudian. — AFP.

Continue Reading

Previous: Hasrat Speedy Tigers ke separuh akhir musnah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.