Kylian Mbappe
PARIS: Bintang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe berada di Paris bagi menjalani rawatan kecederaan lutut, namun tiada pembedahan dirancang setakat ini.
Kelab gergasi Sepanyol itu mengesahkan penyerang Perancis berkenaan mengalami terseliuh lutut kiri dan akan menjalani rawatan secara konservatif.
Menurut kem Mbappe, kapten France national football team itu berada di ibu negara Perancis dengan ditemani pegawai perubatan Real Madrid untuk menjalani ujian lanjut.
“Dengan persetujuan kelab, beliau menjalani pemeriksaan tambahan bagi mengoptimumkan rawatan susulan dan persiapan untuk kembali beraksi. Tiada pembedahan dirancang buat masa ini,” menurut kenyataan itu.
Mbappe terlepas aksi menentang Getafe awal pagi tadi dan sebelum ini tidak diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Benfica susulan kesakitan berterusan ketika latihan.
Difahamkan, penjaring 38 gol dalam 33 penampilan musim ini itu bergelut dengan kecederaan ligamen luar lutut kiri sejak penghujung 2025.
Jurulatih Real, Alvaro Arbeloa berkata keputusan merehatkan Mbappe dibuat secara konsensus antara pemain, jurulatih dan doktor.
“Ia bukan soal beberapa hari, mungkin lebih lama, tetapi kami harap tidak terlalu panjang,” katanya.
Kini timbul persoalan sama ada Mbappe sempat cergas untuk aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Manchester City pada 11 dan 17 Mac ini.
Perancis pula dijadual mengharungi aksi persahabatan menentang Brazil dan Colombia hujung bulan ini sebagai persiapan ke Piala Dunia, dengan perlawanan pertama menentang Senegal pada 16 Jun. – AFP