
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Kylian Mbappe terus mengukuhkan reputasinya di pentas Piala Dunia apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-1 Perancis ke atas Senegal pada Selasa sekali gus meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk mencabar rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu pada edisi kali ini.
Bintang Real Madrid itu membuka tirai jaringan Perancis pada minit ke-66 di Stadium MetLife menerusi penyudah kemas hasil hantaran cemerlang Michael Olise dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Bradley Barcola kemudian menggandakan kelebihan Perancis sebelum Ibrahim Mbaye merapatkan jurang buat Senegal. Namun, Mbappe memastikan kemenangan Les Bleus apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan dalam aksi Kumpulan I itu.
Kemenangan tersebut menjadi permulaan sempurna buat pasukan yang dianggap antara pilihan utama untuk menjulang trofi, manakala dua gol Mbappe membolehkannya muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis.
Beliau memulakan hari itu dengan ketinggalan satu gol di belakang Olivier Giroud, rakan sepasukannya ketika Perancis menjuarai Piala Dunia 2018, namun kini mengatasi bekas penyerang Arsenal itu dengan 58 gol daripada 99 penampilan antarabangsa.
“Saya benar-benar gembira kerana dapat mencipta sedikit lagi sejarah untuk negara saya,” kata Mbappe.
“Ia sesuatu yang sentiasa saya impikan. Namun, kami tahu tujuan kami berada di sini dan saya fikir saya akan mempunyai masa untuk memikirkan semua perkara ini selepas bersara daripada bola sepak.”
Beliau menambah: “Kami mahu terus menulis lembaran paling gemilang dalam sejarah pasukan kebangsaan Perancis. Kami tahu perjalanan masih panjang, tetapi kami sudah bersedia.”
Hanya dua gol di belakang Klose
Perancis telah mara ke empat perlawanan akhir dalam tujuh edisi terakhir Piala Dunia, termasuk dua edisi terkini.
Selepas muncul juara pada 2018, mereka tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti dalam final Piala Dunia 2022 selepas perlawanan epik di Doha yang menyaksikan Mbappe menjaringkan hatrik.
Kejohanan kali ini juga merupakan Piala Dunia terakhir buat jurulatih Didier Deschamps yang bakal mengakhiri khidmatnya selepas 14 tahun mengendalikan skuad kebangsaan.
Deschamps memberi peluang kepada Mbappe membuat penampilan antarabangsa pertama ketika berusia 18 tahun pada 2017 dan menyaksikan kebangkitannya sebagai bintang dunia pada Piala Dunia 2018 di Rusia.
Mbappe menjaringkan empat gol pada kejohanan itu, termasuk satu gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Croatia pada perlawanan akhir. Beliau kemudian muncul penjaring terbanyak Piala Dunia 2022 di Qatar dengan lapan gol.
Dua gol yang dijaringkannya kali ini menjadikan jumlah keseluruhan jaringan Mbappe di Piala Dunia meningkat kepada 14 gol daripada hanya 15 penampilan, sekali gus menjelaskan mengapa Deschamps menyifatkannya sebagai pemain yang “luar biasa”.
Dalam tempoh kira-kira 30 minit di bawah cuaca cerah New Jersey dengan latar belakang panorama bandar Manhattan, Mbappe melepasi rekod 12 gol milik legenda Brazil, Pele, selain mengatasi bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, Lionel Messi, serta legenda Perancis, Just Fontaine.
Messi dan Fontaine masing-masing mengumpul 13 gol Piala Dunia, dengan kesemua jaringan Fontaine hadir pada edisi 1958 di Sweden.
Mbappe, yang menjaringkan 42 gol dalam 44 perlawanan bersama Real Madrid musim ini, kini menyamai rekod legenda Jerman Barat, Gerd Muller, dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia.
Hanya Ronaldo dari Brazil dengan 15 gol dan Miroslav Klose dari Jerman dengan 16 gol berada di hadapannya.
Gandingan serasi dengan Olise
Mbappe pastinya yakin mampu mengejar rekod tersebut sebelum berakhirnya saingan peringkat kumpulan apabila Perancis dijadual menentang Iraq di Philadelphia Isnin depan sebelum berdepan Norway di Boston pada 26 Jun (waktu tempatan).
“Apa yang dilakukannya sangat luar biasa, dalam setiap perlawanan dan sesi latihan. Dia tidak pernah berhenti mengejutkan kami,” kata Barcola.
Menariknya, rekod cemerlang Mbappe di Piala Dunia jauh berbeza dengan pencapaiannya di Kejohanan Eropah, apabila beliau hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan penampilan, iaitu menerusi sepakan penalti ketika menentang Poland pada Euro 2024.
Pada masa sama, aksi pembukaan Perancis turut menyerlahkan seorang lagi pemain yang wajar diberi perhatian oleh lawan mereka selepas ini, iaitu Michael Olise.
Pemain sayap Bayern Munich itu yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia mempamerkan aksi cemerlang selepas beraksi dalam peranan lebih tengah di belakang Mbappe.
“Sangat mudah bermain bersama Michael,” kata Mbappe.
“Dia sentiasa mengangkat kepala dan anda hanya perlu menyediakan pilihan untuknya. Dia sentiasa mahu bergerak ke hadapan dan mencipta peluang untuk rakan sepasukan.
“Saya tahu dia akan menemui saya setiap kali saya melakukan larian. Ia memang hebat.” – AFP