MB Negeri Sembilan angkat sumpah 11.00 pagi ini

Facebook
WhatsApp
MENTERI Besar Negeri Sembilan yang baharu dijadualkan mengangkat sumpah jawatan dalam istiadat rasmi di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. Gambar hiasan.

SEREMBAN: Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu dijadualkan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Tumpuan terarah pada istiadat untuk melantik ketua pentadbiran kerajaan negeri selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 semalam menyaksikan perubahan komposisi politik Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Istiadat berkenaan dijadualkan berlangsung kira-kira 11.00 pagi ini di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta pembesar negeri.

Setakat 9.00 pagi ini, persiapan istiadat berkenaan sedang giat dijalankan.

Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 11 kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini malam tadi bagi mempersembahkan tiga nama calon Menteri Besar.

Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.

Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima), sekali gus menyaksikan pembentukan kerajaan negeri PH dan BN.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah BN Negeri Sembilan menarik sokongan daripada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April, sekali gus membawa kepada PRN diadakan.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.- Bernama