KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menurunkan sasaran pendapatannya bagi unjuran tahun kewangan 2020, 2021 dan 2022 CIMB Group Holdings masing-masing sebanyak 31 peratus,14 peratus dan 14 peratus, memandangkan margin faedah bersih (NIM) dan kos kredit yang tinggi.
Maybank IB dalam satu nota penyelidikan berkata kos kredit kumpulan perbankan itu meningkat 1.06 peratus pada suku pertama 2020 daripada 0.66 peratus pada suku keempat 2019 dan 0.34 peratus pada suku pertama 2019.
Pada suku pertama 2020, kumpulan itu menyediakan peruntukan kira-kira RM430 juta terhadap satu pedagang minyak yang mungkir pada suku tersebut.
Ia juga menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta di Indonesia bagi sebuah syarikat korporat dalam sektor borong.
“Kami menjangkakan peruntukan lebih besar kira-kira RM500 juta dalam suku kedua 2020 terhadap satu lagi pedagang minyak di Singapura, oleh itu, pelabur dijangka terus berhati-hati terhadap CIMB dalam tempoh terdekat ini.
“Panduan pengurusan CIMB Group bagi kos kredit 100 hingga 120 mata asas bagi tahun kewangan 2020, yang berganda daripada panduan asalnya 40 hingga 50 mata asas,” kata kumpulan itu.
Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata ia terkejut dengan paras kos kredit CIMB Group pada suku pertama 2020 walaupun ia menjangkakan paras kos kredit itu mungkin kekal tinggi tahun ini berikutan beberapa kegagalan korporat dalam sektor minyak dan gas Singapura.
Bagaimanapun, pada masa depan, ini mungkin menunjukkan penambahbaikan tahun depan, kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan semalam.
“Kami percaya ini mungkin telah diambil kira memandangkan prestasi semasa harga sahamnya.
“Malahan, ia mungkin lebih sasar berkaitan dengan asasnya, justeru, mungkin akan terdapat beberapa peluang dagangan bergantung kepada potensi peningkatan tahun depan,” kata MIDF Amanah. – Bernama