
Lawas: Mayat seorang warga emas yang dilaporkan hilang ketika memukat udang berjaya ditemui terapung oleh pasukan Polis Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 Ogos lalu, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama beberapa hari.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, kejadian bermula pada 14 Ogos 2025 apabila Assan Osman, 65 tahun, berasal dari Sundar, Lawas, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas turun ke laut sekitar 5.30 pagi untuk memukat udang.
Menantu mangsa membuat laporan polis selepas Assan tidak kembali ke rumah pada petang yang sama. Keluarga kemudian menemui perahu milik mangsa bersama barang-barangnya masih berada dalam perahu tersebut, namun tiada tanda mangsa di sekitar kawasan itu.
Bertindak atas laporan tersebut, polis segera menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut, namun operasi SAR hanya dapat dijalankan pada keesokan harinya.
Pada 16 Ogos, pihak Polis Lawas menerima maklumat daripada Polis Wilayah Persekutuan Labuan bahawa mayat lelaki telah ditemui terapung di perairan Labuan. Keluarga mangsa dimaklumkan dan hadir ke Hospital Labuan pada 17 Ogos iaitu semalam untuk pengecaman mayat tersebut.
Pengesahan dibuat oleh anak mangsa bahawa mayat yang ditemui memang benar Assan Osman, sekali gus menamatkan operasi SAR yang berpusat di Jeti Kampung Awat-Awat pada hari yang sama.
Mayat mangsa akan dibawa pulang ke kampung halaman di Sundar, Lawas setelah proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Labuan.
Kes ini kini dalam siasatan Balai Polis Labuan.
Oleh Adeng Edrus