
LUNDU: Mayat seorang warga emas ditemukan di tebing Sungai Batang Kayan di sini, tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12.50 tengah hari selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut.
Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerahkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.
Mangsa berusia lingkungan 70-an ditemukan di tebing sungai sebelum pihak polis memohon bantuan bomba untuk mengangkat mayat berkenaan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Tinggi II Joseph itu melibatkan tiga anggota dan sebuah bot aluminium tamat sepenuhnya pada 2.30 petang.