

MAYAT mangsa dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto Bomba
KUCHING: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di tebing sungai berhampiran Jalan Matang menuju Kampung Paroh akhirnya ditemui pada 12.30 tengah hari, hari ini.
Mangsa, Jacob Tuan, 32, sebelum ini dilaporkan hilang malam tadi sekitar 10.00 malam ketika memancing, sebelum ahli keluarganya menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, PPgB Muhammad Fazly Ibrahim, mayat mangsa dijumpai dalam radius 300 meter dari lokasi kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
“Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi SAR hari kedua digerakkan seawal 8.00 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 1.52 petang setelah keadaan disahkan terkawal.
Pada malam kejadian, operasi awal berdepan kesukaran kerana lokasi terletak sekitar 200 meter dari jalan utama serta keadaan kawasan yang gelap dan dipenuhi semak samun.