
SIBU: Lelaki warga Indonesia yang dikhuatiri hilang selepas terjatuh dari kapal di perairan Sungai Rejang berhampiran Jalan Upper Lanang, ditemukan meninggal dunia petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pada 10.30 pagi, pihaknya menerima laporan awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki terapung di Sungai Ulu Lepa berhampiran Rumah (Rh) Dadat, Bintangor, kira-kira 69 kilometer (km) dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa berusia 44 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sarikei dan pada 1.37 petang, proses pengecaman mengesahkan ia adalah mangsa yang dikhuatiri lemas di perairan Sungai Rejang, Sibu,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan sepenuhnya pada 4.45 petang.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 6.00 petang Selasa lalu, rakan sekerja mangsa memaklumkan mangsa dilihat turun untuk mandi sebelum dipercayai terjatuh dari kapal pasir tempat dia bekerja.
Oleh Akun Giman