
SIMANGGANG: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam disahkan ditemui meninggal dunia di kawasan Sungai Batang Lupar, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata mayat mangsa dikenali sebagai Celsus Khaw Choon Seng, 63, ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 12.10 tengah hari.
Menurutnya, mangsa berasal dari Kuching dan beralamat di No.28, Level 2, Blok C Ensyn Apartment, Jalan Ensing Batu Kawa.
Laporan orang hilang berhubung lelaki berkenaan telah dibuat oleh ahli keluarganya pada hari kejadian.
“Pengecaman awal yang dilakukan di lokasi oleh ahli keluarga mengesahkan mayat yang dijumpai adalah mangsa yang dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dennis berkata ketika dilaporkan hilang, mangsa dipercayai memakai baju T berlengan pendek dengan warna tidak dapat dipastikan, seluar panjang berwarna gelap serta berselipar jenama Brook.
Beliau berkata operasi SAR telah digerakkan sejurus laporan diterima dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan bagi mengesan kedudukan mangsa di sekitar kawasan sungai.
Setakat ini, katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi.
Sehubungan itu, Dennis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak sahih berhubung kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Terdahulu, penemuan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Melayu Skait, di sini, menggemparkan penduduk setempat pagi semalam.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pihak berkuasa mendapati tiada mangsa berada di dalam kenderaan tersebut.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan terus ke balai daripada orang awam pada 10:48 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta berada di dalam sungai, sekitar 30 meter ke arah hilir dari titik dipercayai terjatuh.
Oleh Adi Safarman