
MAYAT MANGSA....Ditemui oleh penduduk kampung pada kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Foto ihsan BBP Mukah.
MUKAH: Mayat mangsa yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai selepas bot dinaikinya dipercayai melanggar kayu hanyut di perairan Bungan Kecil pada Rabu lalu, ditemui pada kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, mayat Saffuan Zaffari, 30, merupakan seorang pekerja syarikat pendawaian elektrik, dijumpai oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital Mukah. Operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam,” katanya.
Terdahulu semasa kejadian sekitar jam 2 petang Rabu lalu, mangsa dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya dipercayai melanggar kayu hanyut dalam kejadian berlaku di perairan Bungan Kecil, Batang Igan, Dalat.
Mangsa kemungkinan terpelanting akibat kejadian itu.
Sepasukan anggota dari BBP Mukah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang
Oleh AKUN GIMAN