BETONG: Seorang lelaki ditemui mati terapung di dalam parit ladang sawit Nanga Ban dalam kawasan ini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Ali berkata, mayat lelaki tersebut ditemui penduduk Rumah Panjang Nanga Ban sekitar 9.30 pagi yang kemudiannya bertindak memaklumkan penemuan tersebut kepada menantu si mati.
“Pengadu (menantu si mati) pergi ke tempat kejadian berkenaan untuk melihat dan seterusnya mengecam bahawa mayat berkenaan adalah bapa mertuanya.
“Perkara ini segera dilaporkan kepada pihak polis dengan hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat si mati berada dalam keadaan terapung dengan bahagian muka menghadap ke dalam air,” kata beliau.
Zamry turut memberitahu, tiada saksi bagi kejadian kes berkenaan dengan menantu si mati memberitahu bahawa bapa mertuanya itu keluar dari rumah pada petang Ahad lepas dan kaki botol.
Malah, pengadu kata beliau juga turut menyatakan bahawa bapa mertuanya itu ada pergi ke Rumah panjang Pok yang terletak tidak jauh dari rumah panjang mereka untuk melawat orang yang meninggal dunia.
“Mayat berkenaan diangkat ke darat oleh pihak polis dengan pemeriksaan awal mendapati bahawa tiada sebarang kesan pergelutan dan tindakan perbuatan jenayah dikesan pada tubuh badan si mati.
“Pemeriksaan lanjut pihak polis di kawasan kejadian juga mendapati tiada sebarang alat atau benda tajam dijumpai berhubung kes penemuan mayat mangsa berkenaan,” ujarnya.
Zamry berkata, mayat si mati dihantar ke Hospital Betong bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian dengan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Oleh Valentine Ngumbang