
BINTANGOR: Penemuan mayat manusia yang terapung di tebingan Sungai Kawi menggemparkan penduduk kampung selepas seorang pemancing udang menjumpai jasad tersebut sekitar 1.10 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering, berkata beliau bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada penduduk kampung.
“Maklumat awal diterima daripada penduduk Sungai Kawi selepas dimaklumkan oleh seorang pemancing udang. Pasukan IPD Meradong bersama penduduk Rumah Dangat menggunakan bot orang kampung untuk ke lokasi penemuan, kira-kira dua kilometer dari Rumah Dangat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
DSP Tansli memaklumkan, mayat lelaki itu hanya berpakaian seluar jeans biru tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
“Mayat telah dibawa ke tebing sungai dan kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut. Pihak kami akan mengeluarkan borang Pol.61 dan memohon bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian serta mengambil sampel DNA.”
Pemeriksaan awal pada mayat mendapati kedua-dua tangan mangsa tiada, manakala hujung kaki kanan menunjukkan kesan kecederaan.
“Wajah mangsa juga didapati membengkak dan dalam keadaan mereput. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan.”
DSP Tansli turut menggesa orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau saudara-mara yang hilang agar segera tampil membuat laporan di Balai Polis Bintangor.
“Kami amat mengalu-alukan maklumat daripada masyarakat bagi membantu proses pengecaman dan siasatan. Saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes ini masih dalam siasatan.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Rumah Dangat atas kerjasama membantu dalam operasi mencari dan mengangkat mayat.
Oleh Earl Anek