
MIRI: Kehilangan seorang lelaki yang dipercayai jatuh ke dalam sungai dari Jambatan Lutong, Kampung Pangkalan di sini akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemui pagi tadi.
Mayat mangsa dijumpai pada 7.10 pagi kira-kira 1.3 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKOB) dan satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Mangsa, Jackson Dian Bobbry Ganing, 32, sebelum itu dilaporkan jatuh ke dalam sungai kira-kira 12.48 tengah hari pada Rabu sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa tiba di PKOB pada 7.48 pagi sebelum pengecaman dibuat ahli keluarga pada 8.12 pagi.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.30 pagi,” katanya.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera FRT, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot.
Turut terlibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Sarawak Coast Guard.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.
Oleh Liong Chai Ling