
BETONG: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia selepas mayatnya dijumpai terapung di tebing Sungai Batu Lintang, Layar dekat sini, petang ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, Kapten Mohd Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.29 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian enam minit kemudian.
Menurutnya, pasukan APM Betong tiba di lokasi pada 2.55 petang dan mendapati seorang lelaki dewasa ditemui terapung oleh penduduk rumah panjang berhampiran sungai berkenaan.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Frankiy Empaga Baba, 57 tahun. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seramai tiga anggota APM Betong telah dikerahkan ke lokasi kejadian dengan bantuan logistik termasuk beg mayat dan peralatan keselamatan air.

Operasi turut melibatkan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong serta PDRM Betong yang hadir bagi mengawal keadaan dan menjalankan siasatan awal.
Siasatan awal mendapati kehilangan mangsa disedari oleh ahli keluarga selepas mangsa tidak pulang ke rumah sejak keluar pada awal pagi tadi.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
APM Betong menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika berada berhampiran sungai serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan.
Oleh Adi Safarman