
TATAU: Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Tatau berhampiran Rumah Enjan di Nanga Biban di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Alexsen Gindi, 24, ditemui sekitar lima meter dari tebing sungai oleh ahli keluarganya sekitar 9.10 pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Tatau pada 10.12 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi sejauh 24 kilometer.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 10.17 malam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung hari ini,” katanya.
Operasi SAR hari kedua bermula 8.28 pagi melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota JBPM Tatau dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mayat mangsa dijumpai berhampiran rumah panjang mangsa sebelum pasukan penyelamat menggunakan bot aluminium JBPM dan polis untuk membawa mayat ke jeti pasar lama.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 11.45 pagi.
Oleh Carolyne Utih