
KUALA LUMPUR: Platform e-panggilan Maxim kini beroperasi secara sah di seluruh negeri setelah menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.
Pengarah Maxim Malaysia Mohd Hazwan Musley memaklumkan syarikat itu telah memiliki lesen sah serta mematuhi sepenuhnya keperluan peraturan ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Beliau berkata pada 2 Disember 2025, APAD telah menerbitkan kenyataan rasmi di halaman Facebook yang menyenaraikan semua syarikat e-panggilan berdaftar yang beroperasi di Semenanjung Malaysia dan Maxim turut tersenarai dengan permit yang sah.
Mohd Hazwan berkata bagi operasi di Sabah dan Sarawak, syarikat itu memiliki semua dokumen operasi yang diperlukan daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), serta sentiasa mengekalkan pematuhan penuh terhadap keperluan peraturan tempatan.
“Penerbitan senarai rasmi APAD telah menghapuskan sebarang keraguan mengenai status pelesenan Maxim. Kami beroperasi dengan ketelusan penuh dan pematuhan ketat terhadap peraturan pengangkutan Malaysia.
“Fokus kami kini adalah untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dan piawaian keselamatan, bagi memastikan kedua-dua pemandu dan penumpang mendapat manfaat daripada platform e-panggilan yang boleh dipercayai dan sah”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hazwan berkata semua pemandu Maxim diwajibkan memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Permit Kenderaan E-hailing (EVP) serta insurans, selain kenderaan perlu lulus pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi menjamin keselamatan penumpang.
Menurut kenyataan itu, Maxim turut meningkatkan akses pengangkutan khususnya di kawasan luar bandar, selain menyediakan peluang pendapatan fleksibel kepada pemandu tempatan serta menyokong ekonomi setempat.
Syarikat itu juga melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Maxim turut menawarkan ciri inklusif seperti tambang khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan perjalanan untuk wanita di kawasan terpilih. – Bernama