
NOUAKCHOTT (Mauritania)/ISTANBUL: Mauritania pada Isnin melaporkan 15 kematian dan 202 jangkitan akibat wabak difteria di tenggara negara itu, menurut Anadolu Ajansi.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata jangkitan itu direkodkan di wilayah Hodh Ech Chargui, Hodh El Gharbi dan Assaba dengan tujuh kematian dicatatkan di Assaba manakala lapan lagi di Hodh El Gharbi.
Kementerian itu berkata seramai 41 pesakit masih dirawat di hospital, manakala kes selebihnya telah sembuh.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan situasi itu masih “terkawal”, sambil menambah bahawa pasukan tindak balas pantas telah dikerahkan ke kawasan paling teruk terjejas dan pengawasan epidemiologi turut diperketatkan di pintu sempadan serta pusat kesihatan.
Pihak berkuasa turut mengesyorkan agar permulaan sesi persekolahan di kawasan yang terjejas ditangguhkan.- Bernama-Anadolu